Dewan Atria Simpur, Jabatan Kerja Raya, 6hb
Oktober – Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei
Darussalam telah melancarkan satu dasar perubahan iklim pertama seumpamanya di
negara ini iaitu Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam pada
25 Julai baru-baru ini.
Pasukan Petugas Dokumen Operasi bagi Dasar
Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) telah dibentuk untuk
menghasilkan Dokumen Operasi terperinci untuk mengoperasikan BNCCP ke
arah negara lestari yang rendah karbon dan berdaya tahan.
Bengkel
ODFTF bagi Strategi 7 BNCCP mengenai Pengurusan Sisa telah diadakan pada 6 dan
7 Oktober, dianjurkan bersama oleh Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam
Sekitar, Taman dan Rekreasi (DEPR) selaku agensi peneraju dan Sekretariat
Perubahan Iklim Brunei (BCCS). Bengkel selama 2 hari ini dirasmikan oleh Yang
Mulia Dato Seri Paduka Ar. Haji Marzuke bin Haji Mohsin, Timbalan Menteri
Pembangunan. Bengkel ini adalah merupakan siri terakhir bengkel ODTF yang telah
dilaksanakan sejak 31 Ogos yang lalu.
Wakil
dari Autoriti Petroleum dijemput sebagai pemudah cara, di samping agensi-agensi
peneraju bagi memudah cara bengkel berkenaan. Peserta-peserta terdiri daripada enam
puluh lapan wakil dari pihak-pihak berkepentingan yang relevan termasuk
agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan, organisasi dan
persatuan bukan kerajaan (NGO), untuk merangka Dokumen Operasi bagi
mengurangkan sumbangan gas rumah hijau dan juga mengurangkan kadar penjanaan sampah
kepada 1 kg setiap orang sehari, terutamanya pelepasan gas metana (Methane gas,
CH4) dengan mengurangkan jumlah sampah yang perlu dilupuskan melalui
pengurangan sampah, penggunaan amalan terbaik dan teknologi inovatif.
Objektif
bengkel ini adalah mengumpulkan maklumbalas dari pihak-pihak berkepentingan
yang relevan dalam menyusun rancangan tindakan bagi perlaksanaan 3 objektif
strategi utama Strategi 7, iaitu: i) Mempromosikan dan melaksanakan pengurangan
sampah (‘waste minimization’) melalui konsep 3R (pengurangan, guna semula dan
kitar semula) untuk mengurangkan jumlah sisa pepejal domestik dan sisa industri
yang dilupuskan ke tapak pelupusan, ii) Menggunakan teknologi sisa-buangan-ke-tenaga
(‘waste-to-energy’) bagi mengurangkan penggunaan tanah untuk tapak pelupusan
dan mengurangkan jumlah sampah yang perlu dilupuskan, dan iii) Meningkatkan
pendidikan awam dan kesedaran kepada masyarakat umum dengan mempromosikan dan
meningkatkan penyertaan mereka dalam inisiatif dan program yang berkaitan
dengan 3R.
ODTF ini ditubuhkan bagi membentuk peta jalan yang inklusif,
menyeluruh dan koheren serta mengandungi pelan tindakan jangka masa panjang
yang terperinci, pemboleh utama, garis masa, kunci petunjuk utama yang
terperinci serta mekanisme pemantauan dan pelaporan bagi perlaksanaan kesemua
10 strategi yang terkandung di dalam Dasar Perubahan Iklim NBD. Antara 10
strategi tersebut adalah Pelepasan Industri; Liputan Hutan; Kenderaan Elektrik;
Tenaga Lestari; Pengurusan Tenaga; Harga Karbon; Pengurusan Sisa; Kedayatahanan
dan Adaptasi Perubahan Iklim; Inventori Karbon; dan Kesedaran dan Pendidikan.
Draf pertama Dokumen Operasi Dasar Perubahan
Iklim NBD dijangka akan dihasilkan pada penghujung bulan Oktober dan akan
dihadapkan kepada Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim NBD.
Turut hadir dalam bengkel tersebut ialah Yang
Berhormat Dayang Khairunnisa bte Awang Haji Ash'ari, anggota Majlis Perundangan
(LegCo) dan Dr Nor Imtihan Binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap
(Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) Kementerian Pembangunan.