|
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Brunei Darussalam pada masa ini sedang mengalami keadaan kualiti udara yang sedikit berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) yang dicatatkan dari semua stesen pemantauan kualiti udara di keempat-empat daerah dari 29 Julai hingga 30 Julai adalah tinggi iaitu di antara PSI 28 dan PSI 69 berbanding dengan hari-hari biasa di mana PSI yang dicatat pada lazimnya adalah di bawah PSI 25.
Perkara itu di nyatakan menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, hari ini, yang juga menyatakan bahawa Pusat kaji cuaca ASEAN melaporkan terdapat titik panas berlaku di sebelah barat dan barat daya di kepulauan Borneo di antara 28 Julai hingga 30 Julai iaitu sebanyak 180 pada 28 Julai, 62 pada 29 Julai dan 562 pada 30 Julai.
Sementara itu menurut kenyataan berkenaan, sehingga pukul 5 petang pada 31 Julai, kualiti udara bagi Brunei Muara dan Tutong adalah di tahap baik dengan catatan PSI yang tertinggi bagi Brunei-Muara ialah PSI 48 dan bagi Tutong ialah PSI 47.
Sementara itu bagi Temburong dan Kuala Belait, kualiti udara adalah pada tahap Sederhana dengan catatan tertinggi bagi Temburong ialah PSI 57 dan bagi Kuala Belait ialah PSI 61. Bacaan PSI kurang dari PSI 50 adalah bagi keadaan kualiti udara yang baik, PSI di antara PSI 50 dan PSI 100 adalah sederhana dan PSI melebihi PSI 100 adalah dianggap tidak sihat.
Jabatan Alam Sekitar , Taman dan Rekreasi telah mendapati bahawa terdapat kegiatan pembakaran terbuka dilakukan di beberapa kawasan di Brunei terutamanya di sebelah petang. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk memberikan kerjasama supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan kegiatan-kegiatan yang boleh menjejaskan kualiti udara. Pada masa yang sama, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi kan terus memantau kualiti udara secara berterusan dan juga memantau kegiatan pembakaran terbuka.
Orang ramai yang ingin untuk membuat aduan mengenai pembakaran terbuka boleh menghubungi jabatan berkenaan di talian hotline, 8999900/8837751/8837741 dan mereka yang mempunyai pertanyaan mengenai dengan kualiti udara boleh menghubungi talian 2383222 sambungan 514 pada waktu bekerja. Sementara itu maklumat mengenai dengan bacaan PSI juga boleh didapati di laman web, www.env.gov.bn.
Oleh Sim Y. H.
|