|
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Menjaga alam sekitar terutama sekali kebersihan baik di luar mahupun dalam rumah, termasuk kebersihan diri, perlu diambil berat pada setiap masa. Sehubungan itu, Majlis Pelancaran Kempen Kebersihan disempurnakan oleh Pegawai Daerah Brunei dan Muara Dato Paduka Awang Haji Yussop Bakar dengan kerjasama ahli-ahli jawatankuasa Majlis Perundingan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati di kawasan lapang Sekolah Rendah Dato Othman Brunei II Skim Berakas A hari ini.
Sebelum majlis dimulakan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin Imam masjid STKRJ Lambak Kiri Awang Haji Md Zahid Haji Md Zain.
Lebih 100 orang menyertai kempen itu termasuk agensi kerajaan, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Jabatan Alam Sekitar, Pasukan Polis Diraja Brunei, Pasukan Bomba dan Penyelamat, pengetua sekolah, guru dan pelajar serta penduduk kampung sekitarnya.
Turut hadir ialah Penghulu Mukim Berakas A Awang Haji Ahmad Hussin, Ketua Kampung STKRJ Awang Haji Hamdani Omar dan ahli-ahli jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung Mukim Berakas.
Kempen tersebut bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara penduduk kampung dengan agensi kerajaan serta pelajar sekolah berkenaan.
|