|
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Imej satelit yang diterima daripada ASEAN Specialised MeteorologicaCenter (ASMC) mencatatkan lebih 900 titik panas di Sarawak dan Kalimantan Barat. Sementara itu keadaan kualiti udara di Brunei terus terjejas walaupun bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) yang dicatatkan dari semua stesen pemantauan kualiti udara (PM10) di keempat-empat daerah berada di tahap sederhana iaitu di antara PSI 58 dan PSI 70.
Ini berikutan asap dari titik panas di negara jiran dibawa oleh angin barat daya menghala ke negara ini.
Keadaan berjerebu yang melanda negara ini turut menyebabkan banyak pokok dan tumbuh-tumbuhan menjadi kering, mudah terbakar dan merebak dengan pantas menyebabkan kebakaran hutan dan belukar sering berlaku di negara ini sebagaimana yang berlaku berdekatan Lebuh raya Tungku Link berdekatan dengan jalan masuk ke Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada hari ini.
Bagi memastikan keadaan kualiti udara di negara ini tidak bertambah teruk, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRE) dalam siaran akhbarnya hari ini menggesa orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan aktiviti yang boleh menjejaskan kualiti udara.
Pada masa yang sama JASTRE juga akan melaksanakan pemantauan kualiti udara secara berterusan dan pemantauan ke atas aktiviti pembakaran terbuka.
Jabatan berkenaan akan turut memantau keadaan kualiti udara dan memberikan maklumat dan nasihat bersesuaian mengenai kualiti udara dari semasa ke semasa melalui rangkaian radio dan televisyen.
Orang ramai bolehlah menghubungi JASTRE untuk aduan pembakaran terbuka melalui hotline 8999900/8837751/8837741 dan pertanyaan mengenai dengan kualiti udara di talian 2383222 sambungan 514 semasa waktu bekerja.
Bagi pengetahuan orang ramai, bacaan PSI kurang daripada 50 adalah bagi keadaan kualiti udara yang baik, sedang bacaan PSI di antara PSI 50 dan PSI 100 adalah sederhana.
Maklumat mengenai dengan bacaan PSI juga boleh didapati di laman web www.env.gov.bn.
By Hasrulraizan
|