Search this site

 
 

 
 
 

News & Press Release

back

 

Kualiti udara bertambah baik hari ini

Courtesy of  Media Permata
August 11, 2009

 


Negara masih mengalami jerebu tetapi keadaan hari ini lebih baik daripada semalam.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) di daerah Tutong, Brunei dan
Muara serta Temburong sehingga pukul 6 petang hari ini menurun ke tahap baik setelah berada di tahap sederhana pada pukul 4 petang hari ini dan pada hari sebelumnya.

Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRE) dalam kenyataannya hari ini berkata kualiti udara bagi daerah Belait kekal berada di tahap sederhana iaitu 65, sementara daerah Tutong mencatat 34, Brunei dan Muara (39) dan 41 bagi Temburong.

Sementara itu Kementerian Kesihatan dalam siaran akhbar berasingan hari ini menyatakan keadaan itu akan menambahkan lagi masalah pernafasan kepada mereka yang berisiko tinggi terutama penghidap penyakit asma, yang mempunyai masalah jantung dan daripada kalangan kanak-kanak dan orang tua.
Simptom penyakit yang berkaitan dengan jerebu termasuk batuk, selesema, mata terasa gatal dan berair, sakit kerongkong dan sesak nafas.

Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai mengehadkan aktiviti luaran terutama bagi penuntut sekolah seperti melakukan gerak badan, bersukan dan permainan luar ketika keadaan masih berjerebu kerana aktiviti sedemikian mengakibatkan pernafasan yang kuat hingga boleh menyebabkan lebih banyak menghidu udara yang tercemar.

Kementerian seterusnya menasihatkan orang ramai supaya banyak meminum air memandangkan cuaca yang panas pada masa ini dan juga supaya berjumpa doktor seberapa segera jika menghadapi masalah atau simptom penyakit yang dinyatakan.

JASTRE pula menyebut negara ini masih mengalami kualiti udara berjerebu ketika ini dengan bacaan PSI yang dicatatkan dari stesen kualiti udara (PM10) di seluruh negara adalah tinggi daripada hari biasa.

Orang ramai diberi amaran jangan melakukan pembakaran terbuka dan aktiviti yang boleh menjejaskan kualiti udara dan pada masa yang sama JASTRE akan berterusan memantau keadaan kualiti udara dan aktiviti pembakaran terbuka di negara ini.

Orang ramai boleh menghubungi JASTRE untuk membuat aduan mengenai pembakaran terbuka melalui talian hotline 8999900/8837751/8837741 dan pertanyaan mengenai kualiti udara di talian 2383222 sambungan 514 semasa waktu bekerja.

Maklumat mengenai bacaan PSI juga boleh diperoleh dari laman web www.env.gov.bn

Oleh Hasrulraizan
 

 

back  to top