|
SEKOLAH Menengah Sultan Sharif Ali, Kampong Salambigar menganjurkan sudut ASEAN yang bertempat di Dewan Serbaguna sekolah berkenaan baru-baru ini sehingga berakhirnya pada rabu ini.
Tetamu kehormat di majlis itu iaitu Hajah Noridah Abdullah, Ketua Unit Antarabangsa, Jabatan sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam yang juga berkesudian merasmikan pameran dengan temanya "Green ASEAN".
Beliau menyaksikan pelbagai bahan yang dipamerkan dalam sudut ASEAN yang antaranya mengandungi alat muzik tradisi, koleksi etnik-etnik, pakaian tradisi, jenis makanan, buah-buahan dan sebagainya.
Pameran tersebut bertujuan untuk memperlihatkan sebahagian daripada keunikan negara-negara ASEAN dalam pelbagai bentuk gambar dan produk negara-negara ASEAN serta untuk mengetengahkan kebudayaan masing-masing.
Ia juga sebagai satu pendedahan kepada para penuntut untuk mengetahui dan memahami mengenai seni budaya negara ASEAN di samping memperingati hari penubuhan ASEAN pada bulan Ogos bagi sama-sama menyokong aktiviti-aktiviti yang disarankan oleh pihak ASEAN.
Para penuntut juga tidak melepaskan peluang untuk menikmati pelbagai jenis makanan ASEAN, mencuba alat muzik tradisi dan menyertai peraduan kuiz mengenai negara-negara ASEAN.
Turut hadir di pameran tersebut ialah pengetua sekolah berkenaan iaitu Hajah Zaliha Haji Dollah juga sebagai pengerusi majlis, timbalan pengetua akademik, Dayang Noraini Haji Abd. Rafar, guru-guru dan para penuntut sekolah berkenaan.
Oleh Sahama
|