|
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Sebanyak 113 panggilan kebakaran hutan yang membabitkan kawasan seluas 231.481 hektar dan 46 panggilan ke-bakaran rumput seluas 58.94 hektar diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat dari 1 hingga 10 Ogos.
Menurut statistik jabatan berkenaan, daerah Brunei dan Muara mencatat jumlah panggilan tertinggi sebanyak 94 panggilan iaitu 83 panggilan bagi kebakaran hutan dan 11 panggilan bagi kebakaran rumput.
Sementara daerah Belait mencatat 32 panggilan iaitu 11 panggilan bagi kebakaran hutan dan 21 panggilan bagi kebakaran rumput manakala Tutong mencatat 15 panggilan bagi kebakaran hutan dan 14 panggilan kebakaran rumput dan daerah Temburong hanya mencatat empat panggilan kebakaran hutan.
Statistik itu juga menunjukkan daerah Brunei dan Muara mencatat jumlah tertinggi bagi kebakaran hutan iaitu sebanyak 210.021 hektar dan kebakaran rumput hanya mencatat keluasan sebanyak lima hektar.
Daripada jumlah panggilan bagi kebakaran hutan di daerah itu, pada 10 Ogos 2009 saja jumlah keluasan bagi kebakaran hutan mencatat 61.291 hektar.
Daerah Tutong mencatat sebanyak 7.1 hektar kebakaran hutan dan 8.44 hektar yang membabitkan kebakaran rumput sejak 1 Ogos hingga 10 Ogos 2009.
Sementara daerah Belait mencatat 12.16 hektar kebakaran hutan dan 45.5 hektar kebakaran rumput manakala daerah Temburong hanya mencatat kebakaran hutan seluas 2.2 hektar dan tidak ada kebakaran rumput yang dicatat di daerah itu. Oleh Salawati Haji Yahya
|