|
SINGAPURA, Rabu (Bernama) - Mesyuarat peringkat menteri mengenai pencemaran jerebu di Asia Tenggara hari ini bersetuju melarang semua kegiatan pembakaran terbuka di rantau ini dengan menjangka bahawa keadaan cuaca panas akibat fenomena El Nino akan memburukkan lagi keadaan pada suku akhir tahun ini.
Jawatankuasa pemandu rantau kecil peringkat menteri (MSC) mengenai pencemaran jerebu rentas sempadan yang bermesyuarat di sini juga bersetuju menggantung permit bagi aktiviti pembakaran yang ditetapkan di kawasan mudah terbakar seperti di Indonesia dan Malaysia.
Menteri Sumber Air dan Alam Sekitar Singapura Dr Yaacob Ibrahim memberitahu persidangan media selepas mesyuarat separuh hari bahawa MSC bimbang selepas Pusat Khusus Meteorologikal ASEAN melaporkan, kedudukan El Nino yang lazimnya lemah diramalkan daripada bertambah buruk kepada sederhana dan kuat pada penghujung tahun ini.
Sambil menyebut fenomena El Nino mungkin bertambah buruk menyebabkan musim kemarau berterusan di rantau ini sehingga Oktober, beliau berkata MSC menjangkakan aktiviti tompok panas akan meningkat berterusan di kawasan mudah terbakar di Sumatera, Kalimantan dan Sarawak bagi beberapa bulan akan datang.
MSC berkata ia mungkin membawa lebih banyak pencemaran jerebu asap yang merentas sempadan di rantau ini, kata menteri itu.
Selain Yaacob, mesyuarat MSC kelapan itu turut disertai Menteri Pembangunan Brunei Pehin Dato Seri Setia Haji Abdullah Haji Bakar, Menteri Alam Sekitar Indonesia Rachmat Witoelar, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia Datuk Douglas Uggah Embas, Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand Dr Supat Wangwongwatana dan Ketua Bahagian Alam Sekitar ASEAN Dr Rama Letchumanan.
Dalam kenyataan berasingan, MSC berkata rantau ini mengalami peningkatan mendadak dalam bilangan kawasan tompok panas sehingga Sabtu lepas berbanding dalam tempoh yang sama pada 2006 apabila rantau ini menghadapi pencemaran jerebu asap yang teruk.
Para menteri menarik perhatian bahawa sementara terdapat kejadian kualiti udara mencapai peringkat kurang sihat sekali sekala, keadaan masih terkawal berikutan tindakan mitigasi yang diambil oleh negara-negara MSC.
Mereka juga menggesa semua negara MSC supaya bersiap sedia dengan langkah-langkah terkini bagi mencegah dan mengurangkan kebakaran semasa tempoh kritikal itu dan bersetuju meningkatkan kesedaran orang ramai bagi mengawal kebakaran.
Mereka juga bersetuju untuk menyalurkan segera bantuan respons kecemasan bersama mengurangkan kebakaran, jika perlu.
Indonesia memberitahu MSC ia telah mengambil beberapa tindakan baru dan tegas dalam menangani pencemaran jerebu termasuk memberi kuasa kepada pihak berkuasa mendakwa mereka yang melakukan kesalahan, mengeluarkan surat amaran kepada kerajaan tempatan dan syarikat di wilayah yang mudah terbakar, menjalankan operasi pembenihan awan dan melarang pembakaran terbuka di Kalimantan Tengah sejak awal bulan ini.
|