|
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Kebakaran hutan Indonesia menjadi penyebab berlakunya keadaan jerebu di Asia Tenggara pada 1997 dan yang terburuk pada 2006 dengan titik panas tebal dikesan di Kalimantan dan Sumatera pada Oktober tahun itu.
Dalam kajian yang dijalankan Bahagian Sains dan Kejuruteraan Alam Sekitar, Universiti Nasional Singapura, kejadian jerebu memberikan kesan kepada kesihatan awam, penurunan tahap penglihatan, pengurangan produktiviti, kemerosotan pelancongan, kos ekonomi dan kemusnahan biodiversiti.
Profesor Madya dan Timbalan Ketua Bahagian Sains dan Kejuruteraan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Singapura, Dr Rajasekhar Balasubramanian berkata jerebu turut memberi kesan kepada iklim dan cuaca, kesan ke atas kimia atmosfera, keasidan dan kimia air hujan, putaran biogeokimia global, hubungan antarabangsa dan gaya hidup.
Ketika jerebu melanda Asia Tenggara pada 1997 dan 2006 itu kajiannya menunjukkan jumlah pesakit mendapatkan rawatan kesihatan jelas meningkat secara drastik, manakala penurunan tahap penglihatan menyebabkan berlakunya kemalangan termasuk di laut dan udara.
Dari segi kemusnahan biodiversiti pula, kebakaran hutan menyebabkan banyak kemusnahan spesies binatang dan tumbuhan terutama di Borneo yang kaya dengan biodiversiti berbanding di tempat lain seperti kejadian pada 1997 kebakaran hutan menjejaskan orang utan, ujarnya.
Dalam pembentangan kertas kerjanya yang berjudul Cabaran Pencemaran Udara Daripada Jerebu dan Kaedah Terbaik Menangani Cabarannya itu beliau seterusnya menjelaskan produktiviti pula merosot ketika jerebu kerana ramai orang menjaga kesihatan mereka masing-masing dengan berada di rumah bagi mengelak menghidu kualiti udara yang boleh membahayakan kesihatan.
Pada majlis di salah sebuah hotel di Jerudong itu beliau menyatakan selain itu jerebu juga menghalang sinaran matahari yang memberi kesan kepada fotosintesis dan seterusnya memberi kesan kepada aktiviti pertanian. Pelancongan merosot kerana dalam keadaan kualiti udara yang tidak sihat itu, pelancong tidak berani dan hilang minat untuk melancong ke Asia Tenggara, dan ini terbukti dengan kerugian di bidang itu mencapai AS$4 bilion pada 1997-1998, terangnya.
Beliau selanjutnya berkata begitu juga dengan kos ekonomi yang melambung tinggi disebabkan harga yang perlu dibayar bagi menangani masalah alam sekitar, walaupun kejadian jerebu itu hanya berlaku dalam tempoh tiga bulan dalam setahun.
"Iklim dan cuaca sudah setentunya terjejas akibat perubahan kimia atmosfera disebabkan jerebu yang seterusnya menyebabkan perubahan iklim dan cuaca dunia.
"Ini kerana atmosfera yang mengandungi banyak udara umpama mesin pembasuh yang berfungsi membersihkan atmosfera daripada bahan cemar."
Dr Rajasekhar Balasubramanian menyatakan jerebu juga menyebabkan kurangnya jumlah air hujan yang turun dalam setahun di Asing Tenggara, selain turut memberi kesan kepada keasidan dan kimia air hujan itu sendiri sehingga menyebabkannya berbahaya untuk kegunaan orang ramai.
Dari sudut hubungan antarabangsa pula masalah jerebu menjadi masalah antara sempadan kerana jerebu tidak dapat dihalang daripada memasuki sempadan sesebuah negara itu, jelasnya.
Menurutnya, penyelesaian kepada masalah jerebu termasuk mengadakan peraturan melapangkan tanah, kebakaran hutan berjadual, penggunaan insentif kewangan, kempen pendidikan, penyelesaian menggunakan teknologi.
Kita perlu mula beralih kepada sumber tenaga alternatif iaitu lari daripada terlalu bergantung pada minyak dengan merubah bahan yang mengandungi karbon tinggi kepada tenaga yang menghasilkan bio bahan api, cadangnya.
Beliau seterusnya mencadangkan kayu, produk pertanian seperti minyak kelapa sawit, gandum, bahan buangan pertanian, tayar terbuang, sisa makanan dan sisa buangan yang lain untuk dijadikan bio bahan api berkenaan.
Selesai pembentangan pula satu forum terbuka berlangsung bagi membincangkan tajuk Asap Jerebu Serantau di Asia Tenggara: Penyebab, Kesan dan Penyelesaian Munasabah yang dibincangkan bersama oleh Pensyarah Kanan, Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam, Dr Irene P A Cheong dengan Dr Rajasekhar Balasubramanian dan dipengerusikan Pegawai Pemasaran, Pihak Berkuasa Sungai Liang, Olivia Ng.
Oleh Hasrulraizan
|