28 Oktober 2026 – Politeknik Brunei telah menjemput Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) untuk menyampaikan dua (2) sesi ceramah bagi modul HE1302: “Environmental Protection” di Politeknik Brunei, Institut Sains Kesihatan.
Sesi tersebut dihadiri oleh seramai 20 orang pelajar tahun pertama pengambilan ke-16 bagi kursus “Level 5 Diploma in Public Health” di bawah “School of Health Science”.
Ceramah pada sesi pagi memfokuskan kepada Akta Perlindungan dan Pengurusan Alam Sekitar, Penggal 240, diikuti dengan perbincangan teknikal mengenai “Environmental Baseline Study” (EBS), “Environmental Impact Assessment” (EIA) dan “Environmental Management and Monitoring Plan” (EMMP). Sesi tersebut turut diselitkan dengan aktiviti “role-playing” pembentangan cadangan EIA bagi projek kemajuan di Negara Brunei Darussalam.
Manakala pada sesi petang pula, para pelajar didedahkan kepada sistem pengurusan dan pemantauan sisa di negara ini, dan diakhiri dengan sesi kuiz interaktif bagi menguji kefahaman pelajar.
Sesi ceramah tersebut bertujuan untuk memberikan pendedahan awal dan kefahaman teknikal mengenai keperluan EIA dalam industri pembangunan, di samping memupuk kesedaran mengenai amalan terbaik pengurusan sisa di Negara Brunei Darussalam.


