
MAJLIS PELANCARAN PROGRAM BELIA BRUNAS
DAN PENGIKTIRAFAN PEMIMPIN BELIA ALAM SEKITAR
BERSEMPENA DENGAN SAMBUTAN HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA 2025

|
Hari Khamis, 5 Jun 2025 - Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, Jun 5 – Pada 5 Jun setiap tahun, masyarakat global termasuk Negara Brunei Darussalam menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam perihal kepentingan menjaga alam sekitar dan menggalakkan penglibatan tindakan semua lapisan masyarakat untuk melindungi alam sekitar dan memelihara kemampanannya. Pada tahun ini, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan memfokuskan kepada penglibatan belia dalam usaha menjaga alam sekitar, di mana satu Majlis Pelancaran Program BELIA BRUNAS dan Pengiktirafan Pemimpin Belia Alam Sekitar telah diadakan pada pagi tadi. Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan.

|
Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa oleh Yang Mulia Awang Muhammad Hafiy bin Noorsam, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Martinah binti Haji Tamit, Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, selaku Pengerusi Majlis. Di dalam ucapannya, beliau mengaitkan tema sambutan: ‘Beat Plastic Pollution’ dengan menekankan kepentingan perubahan ke arah pengurusan dan penggunaan plastik yang lebih bertanggungjawab dan mampan. Di samping itu, tabiat yang mesra alam dan peka akan kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar adalah satu langkah penting dalam menangani isu pencemaran plastik. Tambah beliau, keberkesanan langkah ini bergantung kepada penyertaan dan sokongan setiap lapisan masyarakat iaitu melalui pendekatan senegara, yang mana antaranya termasuklah para belia.

|
Beliau turut mengongsikan mengenai program BELIA BRUNAS, satu program khas yang akan dijadikan satu platform bagi memberi peluang kepada belia-belia Negara Brunei Darussalam untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang memberi impak yang lebih bermakna dan berpanjangan, yang dapat menyumbang kepada kelestarian alam sekitar negara. Program ini terbahagi kepada dua (2) fasa: Fasa 1, diberi nama Program YouLEARn, singkatan untuk “Youth Learn, Empower and Advocate for a Resilient Environment” dan Fasa 2 iaitu Program YouGAIN, singkatan bagi “Youth Green Actions for Innovation”. Buat julungjulung kalinya juga, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi memberikan pengiktirafan kepada beliabelia yang berdedikasi dalam menyumbang kepada agenda pembangunan negara, termasuk usaha-usaha dalam memastikan kelestarian alam sekitar, sebagai Pemimpin Belia Alam Sekitar.

|
Satu video ucapan khas daripada Dr Dechen Tsering, Pengarah Pejabat Serantau Asia Pasifik, United Nations Environment Programme turut ditayangkan yang antara lain memfokuskan kepada penglibatan belia ke arah memikirkan semula cara menggunakan plastik, termasuk ekonomi kitaran. Majlis diteruskan lagi dengan pelancaran Program BELIA BRUNAS dan penyampaian Sijil dan Plak Pengiktirafan Pemimpin Belia Alam Sekitar kepada Yang Mulia Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash’ari, Dayang Liaw Lin Ji, Dayang Noor Hafizah binti Haji Rashid dan Dayang Shaima binti Haji Misli yang disempurnakan Tetamu Kehormat Majlis. Majlis diakhiri dengan lawatan ke Pameran Belia Alam Sekitar yang disertai oleh Pejabat Wawasan Brunei, Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP), Green Brunei, Tebalik Plastik, Precious Plastic, Purrfectlygreen, Brumi Lestari dan Villaju.bn.

|
Turut hadir semasa majlis tersebut adalah Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee, Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Yang Mulia Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan; Yang Mulia Sr. (Surveyor) Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub, Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan; Yang Mulia Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh, Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan; Yang Mulia Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar, Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan; Ketua-Ketua Jabatan, Timbalan-Timbalan dan Penolong-Penolong Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai kanan serta Jemputan-jemputan khas.

|
Bersempena dengan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia pada tahun ini, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi juga menyusun beberapa program lain termasuk: Kempen ‘Maritah! Menderma Darah’ yang akan diungkayahkan pada 10 Jun 2025 dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bertempat di Pusat Membeli-belah One City dan Hari Kitar Semula Senegara (Edisi Upcycling) yang akan diadakan pada 22 Jun 2025. Maklumat lanjut mengenai kempen dan acara ini boleh didapati di laman Instagram rasmi Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi: @jastre.bn